Junjung Ziarah Aidil Fitri 1433H/2012- Istana Nurul Iman

Friday, August 24, 2012

TAJUK-TAJUK MENARIK

NDP JUNJUNG KASIH KEMUDAHAN DIBERIKAN

MAJLIS RAMAH MESRA AIDIL FITRI

SAMBUT KETIBAAN SYAWAL DENGAN LAUNGAN AL-QURAN


LIMBARUH HIJAU , 1 SYAWAL 1433 / 20 OGOS 2012 : Timbalan Presiden NDP, Saudara Haji Juned bin Haji Ramli menyambut baik dan menjunjung kasih atas kurnia titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1433 / 2012 yang ditayangkan secara langsung di RTB semalam. Dalam kegembiraan kita menyambut dan meraikan  Hari Raya, kita  sepatutnya tidak lupa malah selayaknya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang mengingatkan kita cara terbaik menanti dan menyambut ketibaan 1 Syawal iaitu dengan melaungkan lafaz-lafaz suci Al-Quran di masjid dan surau di seluruh Negara, ujar Timbalan Presiden. Beliau menambah Titah berkenaan mengajak kita supaya tetap bersyukur dan sentiasa mengingati Allah SWT baik dalam keadaan senang atau susah kerana keduanya ada mengandungi hikmat. 

Tuesday, August 21, 2012

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILL FITRI PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) 1433H/2012M


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­
Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd,
Saudara saudari warga  Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sekalian.
Alhamdulillah, dengan segala limpah Rahmat Allah Azzawajalla, dapatlah kita menyempurnakan ibadah puasa dan seterusnya merayakan Edul Fitri pada tahun ini dalam suasana aman tenteram.
Bersempena Sambutan Hari Raya Edul Fitri ini, sukacita saya bagi pihak Majlis Tertinggi dan Dewan Harian Pusat Parti Pembangunan Bangsa (NDP) mengucapkan Selamat Hari Raya Edul Fitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga NDP yang beragama Islam dan seterusnya kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat  sekaliannya.
Sempena Syawal yang penuh barakah ini, saya sukacita mengajak seluruh warga NDP mendoakan Kehadrat Allah SWT semoga Allah SWT mengurniakan segala kesihatan, kesejahteraan dan kekuatan kepada Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan seluruh kerabat Di Raja. Seterusnya semoga berterusanlah nikmat keamanan dan bertambahlah  kemakmuran yang dikecapi oleh rakyat dan Negara Brunei Darussalam ini. Amin Ya Rabbal Alamin.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd,
Saudara saudari warga NDP sekalian,
Kita juga bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana dengan limpah izinNya jua, maka kita dapat sama-sama menyambut dan menikmati suasana Syawal dengan aman, damai serta penuh kegembiraan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan Al-Mubarak, sebelum menjelangnya Syawal ini, rakyat khususnya pekerja-pekerja sektor awam telah menerima Elaun Sara Hidup yang sedikit sebanyak telah mewarnai kegembiraan menjelang sambutan Syawal 1433 Hijrah ini.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sukacita menjunjung kasih dan turut merakamkan ucapan setinggi penghargaan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, diatas keperhatinan dan perkenan Baginda mengurniakan Elaun Sara Hidup tersebut.
Dalam suasana menyambut ketibaan Syawal, umat Islam tidak akan terlepas dari berbelanja hanya semata-mata bagi memenuhi keperluan meraikan Edul Fitri. Namun kita perlu sentiasa mengenang dan mengingati akan nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar kita semua sentiasa beringat dan  mengamalkan sikap berjimat-cermat.

Saaudara saudari warga NDP sekalian,
seperti yang dijangkakan, selepas meraikan Edul Fitri, masih ada lagi keperluan-keperluan perbelanjaan yang perlu kita hadapi seperti keperluan sekolah bagi anak-anak yang masih di bangku sekolah.
Sehubungan dengan itu, NDP turut berkongsi pandangan dengan sebilangan ahli masyarakat, jika mungkin di masa-masa akan datang dapat dipertimbangkan pemberian Elaun Sara Hidup tersebut atau apa-apa jua bentuk imbuhan hendaklah dibahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian dikeluarkan untuk tujuan sambutan Hari Raya Edul Fitri dan sebahagian lainnya dikeluarkan pada sekitar bulan Disember iaitu menjelang musim permulaan persekolahan di awal tahun bagi memberikan peluang ibu bapa berbelanja kepada perkara yang lebih mustahak iaitu bagi memenuhi keperluan persekolahan anak-anak.

Sehubungan dengan itu, jika tidak menjadi apa-apa kemudaratan atau tersorok langkah, sukacita NDP mencadangkan, iaitu, bagi tujuan merai dan memeriahkan sambutan Edul Fitri bagi golongan warga mas, golongan istimewa, penganggur, kumpulan asnaf fakir miskin dan anak-anak yatim, kiranya pihak berkenaan dapat memberikan sumbangan kewangan khas kepada mereka pada kadar yang munasabah agar mereka itu tidak berasa tersisih dan di beza-bezakan antara mereka  dan lainnya yang berkhidmat di sektor awam.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd,
Saudara saudari warga NDP sekalian, bagi setiap umat Islam yang menunaikan fardhu puasa, pastinya akan teruja dengan ketibaan Syawal.  Akan tetapi, dalam pada itu, jangan pula kita lupa dengan Sunnah Rasullalah SAW dalam menghidupkan sepuluh terakhir ramadhan.
Bagi mempastikan ibadah ini mencapai matlamat yang diharapkan, sukacita NDP menyarankan supaya ihya’ ramadhan dijadikan satu program tetap tahunan disemua masjid diseluruh Negara.
Pihak masjid dan Jabatan Masjid bolehlah merancang pelbagai program khusus untuk menjayakan program ihya’ ramadhan ini.

Allahu Akbar Allahhu Akbar Allahu Akbar Walillahhilhamd,
Saudara saudari warga NDP sekalian, bagi menyemarakkan Syiar Syawal, iaitu bulan kemenangan bagi umat Islam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, pada Titah Baginda di Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara Tahun 1433 Hijrah/2012 Masihi pada, 17 Ramadan 1433 bersamaan 5 Ogos 2012 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas telah berkenan melanjutkan cuti awam bagi Sambutan Hari Raya Edul Fitri  dari dua hari seperti yang berjalan selama ini kepada tiga hari bagi memberi lebih banyak peluang untuk kita bersama-sama dengan keluarga masing-masing.

NDP amat bersyukur dan menjunjung kasih di atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu, namun jika mungkin dapat dipertimbangkan di masa-masa akan datang cuti awam bagi Sambutan Hari Raya Edul Fitri itu turut mengambil kira keperluan umat Islam untuk meneruskan ibadah puasa enam dalam suasana lebih merangsang dan bersemangat.

NDP sekali lagi turut berkongsi pandangan dengan sebilangan masyarakat Islam kiranya cuti awam bagi menyambut Edul Fitri tersebut dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu, cuti pertama  satu hari sahaja jatuh pada satu haribulan Syawal dan cuti Sambutan Hari Raya Edul Fitri peringkat kedua jatuh pada  8 dan 9 haribulan Syawal iaitu  setelah selesai kita menyempurnakan ibadah puasa enam. Saranan ini hanyalah sebagai galakan kepada orang-orang Islam meneruskan ibadah puasa sunat, iaitu puasa enam, yang membawa bersamanya makna besar di dalam menuju hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjadikan Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd,
Saudara-saudari warga NDP sekalian,
Di samping kita mensyukuri nikmat keamanan dan kesejahteraan di bumi Brunei Darussalam ini, saya berseru kepada seluruh warga NDP supaya mengambil iktibar, menginsafi dan mendoakan akan keamanan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita umat Islam di mana jua mereka berada, yang sekarang ini berhadapan dengan kezaliman dan penginayaan, krisis, konflik berdarah dan peperangan sehinggga menggangggu-gugat keharmonian dan mengancam  ketenteraman kehidupan mereka menunaikan ibadah dan tanggungjawab sebagai seorang Islam.
Marilah kita sama-sama berdoa:

رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ ٱلظَّالِمِينَ
وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلْكَافِرِينَ
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir" (Surah Yunus: 85-86)
Sekian, sekali lagi saya bagi pihak seluruh ahli-ahli Majlis Tertinggi dan Dewan Harian Pusat mengucapkan Selamat Hari Raya Edul Fitri maaf zahir dan batin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allashu Akbar, Walillahilhamd,
Wabillahi Taufeq Wassalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh.

Wednesday, August 1, 2012

ZIARAH KUBUR


Hjh Saemah Zulkefli

KUALA BELAIT, 23Julai-    Saban tahun bulan Ramadhan memang dinantikan oleh Umat Islam untuk melakukan berbagai ibadah dan berebut-rebut untuk mengambil peluang membuat kerja-kerja berkebajikan untuk mendapatkan Rahmat daripada Allah SWT.

Menziarahi tanah perkuburan, membersihkan, membaca Tahlil dan Doa Arwah sempena Bulan Ramadhan adalah antara perkara-perkara berkebajikan yang dilakukan di kalangan ramai masyarakat setempat.

Turut menganjurkan kerja berkebajikan membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam di Batu Tiga, seterusnya membaca Tahlil dan Doa Arwah ialah ahli-ahli Ranting Pekan Belait Tiga Parti Pembangunan Bangsa yang telah diketuai oleh ketuanya Awang Haji Ishak bin Abol.

Menyertai sama ialah Naib Presiden Daerah Belait Parti Pembangunan Bangsa Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Talib serta ahli-ahli lain parti tersebut peringkat daerah Belait.
Ahli-ahli Ranting Pekan Belait 3 dan ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa lainnya yang menyertai kempen membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam.
Projek tersebut merupakan aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh ranting berkenaan, antara lain bertujuan untuk mengeratkan ikatan siratulrahim di kalangan ahli-ahlinya dan juga untuk menyemaikan semangat kekitaan dan saling bekerjasama dalam melakukan kerja-kerja yang berkebajikan.

Disamping projek tersebut, ranting berkenaan juga turut mengadakan kegiatan lainnya bersempena bulan Ramadhan ini, antaranya mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah seterusnya Majlis Bersungkai serta akan mengunjungi ahli-ahli yang kurang sihat seterusnya menghulurkan sedikit sumbangan.

Thursday, July 19, 2012

PERGINYA SEORANG PEJUANG TETAPI JASANYA TETAP DIKENANG

Hjh Saemah Zulkefli 
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai 2012 -  Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kehilangan salah seorang pucuk kepimpinannya, apabila Mantan Presiden Awang Muhammad Yassin bin Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Yasin Affandy merangkap Penasihat Utama parti tersebut telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi.
Jenazah Allahyarham diusung keluar dari rumah kediamannya.
Allahyarham Yasin Affandy, 89, meninggalkan seorang balu dan beberapa orang anak serta cucu dan cicit merupakan salah seorang pengasas Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang telah diluluskan pendaftarannya pada 31hb Ogos 2005, menjadikan parti itu yang terunggul di negara ini pada masa ini. Allahyarham juga merupakan salah seorang pemimpin Parti Rakyat Brunei (PRB) merupakan sebuah parti politik yang bergiat aktif dalam era tahun 1960an di negara ini, bersama rakan-rakan pemimpin yang lain termasuklah Allahyarham A.M.Azahari dan lainnya.Allahyarham telah mengidap penyakit tua, beberapa bulan yang lalu, terlantar di rumah kediamannya di Jalan Kota Batu, kemudian telah di rawat di Hospital RIPAS Bandar Seri Begawan.
Allahyarham Yassin Affendy (kiri) bersama Allahyarham
Sheikh Axahari dan Zaini Ahmad

Duduk disebelah kanan Allahyarham Sheikh Azahari
dan Zaini Ahmad ketika berada di PBB

Allahyaham ketika menyampaikan sumbangan untuk mangsa Taufan Nargis kepada Tuan Yanh Terutama Thura Thet Oo Maung, Duta Besar Myanmar di Brunei di majlis istiadat pengibaran bendera Sang Setia kali ke-4 pada Isnin 1 Disember 2008

Bersalaman mesra dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ketika mengapalai rombongan NDP dimajlis junjung ziarah aidil fitri ke Istana Nurul Iman

Allahyarham telah meletakkan jawatan selaku Presiden NDP dua tahun lalu ekoran kurang upaya daripada kesihatannya.  Pemergiannya merupakan satu kehilangan kepada seluruh ahli-ahli parti tersebut dan telah beramai-ramai menyempurnakan pengembumiannya bersama ahli-ahli keluarganya pagi tadi.

Tuesday, July 17, 2012